Kapal terbang Airbus A320 meninggalkan Surabaya jam 5.20 pagi waktu Indonesia (6.20 pagi waktu Malaysia) dan kelihatan tidak dapat dihubungi sewaktu berada di udara Kalimantan, menurut laporan media.
Ia disahkan melalui tweet AirAsia yang dikeluarkan pada 11.47 pagi ini: AirAsia Indonesia regrets to confirm that flight QZ8501 from Surabaya to Singapore has lost contact with air traffic control at 07:24hrs this morning. (AirAsia Indonesia dukacita mengesahkan pesawat QZ8501 dari Surabaya ke Singapura putus hubungan dengan pusat kawalan udara pada jam 7.24 pagi ini).
Reuters memetik Hadi Mustofa dari Kementerian Pengangkutan Indonesia mengatakan kapal terbang itu putus hubungan dengan Jakarta pada jam 6:17 pagi waktu tempatan.
Ia dilaporkan meminta kebenaran menggunakan laluan "di luar kebiasaan."
Kapal terbang itu dijadualkan tiba di Singapura jam 8:30 pagi waktu Singapura (0030 GMT). Laman web lapangan terbang Singapura mencatatkan status penerbangan itu sebagai "ditangguh."
Skrin menunjukkan demografik penumpang dari pesawat Airbus A320 yang hilang pagi ini. � Gambar Facebook, 28 Disember, 2014.
AirAsia Indonesia juga mengeluarkan tweet: "Pada waktu ini, kami tiada maklumat lanjut berhubung status penumpang dan anak kapal terbabit, tetapi kami akan terus memaklumkan semua pihak sebaik maklumat diperolehi."
Katanya, pesawat itu ialah jenis Airbus A320-200, dengan nombor pendaftaran PK-AXC.
"Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan AirAsia sedang bekerjasama sepenuhnya dan membantu perkhidmatan menyelamat."
Sebentar tadi ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes akhirnya bersuara, berterimakasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraannya.
"Thank you for all your thoughts and prayers. We must stay strong (Terima kasih atas semua ingatan dan doa. Kita mesti terus tabah)," beliau menulis tweet di akaun Twitternya, sambil menambah akan membuat kenyataan tidak lama lagi.
Penumpang terdiri dari 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi. Anggota kabin pula dua juruterbang, empat anak kapal dan seorang juruteknik.
Terdapat 149 rakyat Indonesia, tiga warga Korea, seorang Singapura, seorang British dan seorang rakyat Malaysia.
Kompas.com melaporkan juruterbang pesawat itu ialah Captain Irianto dan Emmanuel Plesel sebagai pembantu juruterbang.
Anak kapal terdiri daripada Wanti Setiawati, Khairunisa Haidar Fauzi, Oscar Desano, Wismoyo Ari Prambudi dan Saiful Rakhmad.
Pengarah komunikasi udara Kementerian Penerangan Indonesia Djoko Murjatmodjo dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini.
Sementara itu, agensi mencari dan menyelamat Indonesia dalam satu kenyataan di laman webnya mengatakan, ia menerima laporan pada jam 7.30 pagi waktu tempatan yang hubungan terputus dengan pesawat AirAsia itu berhampiran Teluk Kumai pada jam 6.17 pagi.
Koordinat terakhir diketahui ialah pada 03 09 15 S � 111 28 21 E dan ia sepatutnya memasuki ruang udara Singapura pada 6.52 pagi waktu tempatan.
Katanya, ia menghubungi rakan sejawat di bandar lain di Indonesia seperti Pangkalpinang, Jambi, Tanjungpinang, Palembang, Pontianak, Jakarta, Banjarmasin dan Lampung bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Kompas.com melaporkan pesawat itu putus hubungan di udara Kalimantan.
Sumber : http://www.themalaysianinsider.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "[BERITA] Pesawat AirAsia Dari Surabaya Ke Singapura Dilaporkan Hilang"
Post a Comment