Watak Pembantu Yang Popular
Adakalanya dalam sesebuah sitkom atau siri televisyen, watak pembantu menjadi lebih menarik daripada watak utama. Mungkin kerana penulis skrip tidak sengaja menjadikan watak sampingan tersebut lebih menghiburkan, atau watak utamanya terlalu menjengkelkan sehingga para penonton lebih tertarik dengan peranan orang lain.
Namun tiada watak pembantu yang lebih menarik perhatian selain daripada watak-watak di bawah.
Barney Stinson
(Neil Patrick Harris, "How I Met Your Mother")
"How I Met Your Mother" merupakan satu kemunculan semula buat Neil Patrick Harris yang sebelum ini merupakan bintang kanak-kanak melalui "Doogie Howser M.D". Mungkin kerana itu wataknya mendapat lebih perhatian daripada bintang lain siri ini. Mungkin juga kerana Barney Stinson tidak sama seperti watak kasanova klise yang lain, apatah lagi apabila Harris merupakan ikon LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dalam dunia sebenarnya. Lihat saja betapa banyak meme internet yang dihasilkan menggunakan wataknya. Malah dalam musim ketujuh siri ini, wataknya ditampilkan lebih banyak daripada yang lain.
Seth Cohen
(Adam Brody, "The O.C.")
Ya, sekalipun watak utama drama ini sepatutnya mengetengahkan Ryan, pemuda jalanan yang memasuki dunia remaja kaya Orange County, namun begitu, penonton lebih tertarik dengan kisah Seth Cohen � si ulat buku yang beransur-ansur menjadi popular sehingga berjaya memiliki gadis yang dicintainya sejak kecil. Senang kata, kebanyakan penonton merupakan golongan yang sama seperti watak Seth yang ingin melihat si ulat buku menjadi pemenang.
Pacey Witter
(Joshua Jackson, "Dawson's Creek")
Sekalipun siri TV ini dinamakan "Dawson's Creek", bukan heronya yang akhirnya berjaya memenangi hati heroin. Ini kerana para penonton lebih nampak keserasian watak Pacey Witter lakonan Joshua Jackson apabila bersama Joey (Katie Holmes) daripada Dawson (James Van Der Beek). Sejak awal lagi, watak Pacey diolah dengan menarik jadi pada akhirnya, para penciptanya tidak dapat melakukan cara lain selain daripada mengakhiri cinta tiga segi tersebut dengan kemenangan Pacey.
Steve Urkel
(Jaleel White, "Family Matters")
Pada tahun 1989, "Family Matters" dihasilkan sebagai spin-off sitkom "Perfect Strangers". Ia sepatutnya menceritakan kisah kehidupan Harriet Winslow (Jo Marie Payton) bersama suaminya, tiga orang anak, kakak ipar dan seorang anak saudara yang tidak begitu cerdik. Jaleel White sepatutnya hadir sebagai bintang jemputan dan melakonkan watak ulat buku bernama Steve Urkel yang bersuara sengau dan sangat meminati anak perempuan Winslow. Tapi entah bagaimana, para penonton begitu sukakan Urkel dengan dialog trademark "Did I do that?" sehinggakan dia terus menjadi bintang sitkom tersebut. Malah jika sebut tentang "Family Matters", orang lebih ingat pada Urkel berbanding yang lain.
Jesse Katsopolis
(John Stamos, "Full House")
Siapa yang tidak suka Uncle Jesse? Kanak-kanak menyukainya kerana dia bapa saudara yang paling cool. Wanita menyukainya kerana wajahnya yang kacak dan semua lelaki mahu menjadi sepertinya kerana gayanya yang hebat. Watak Jesse telah menaikkan populariti John Stamos dan sekaligus menyebabkan dirinya menjadi rebutan ramai. Tiada apa yang lebih seksi daripada lelaki Greek yang pandai menjaga dua beradik kembar, kan?
Topanga Lawrence
(Danielle Fishel, "Boy Meets World")
Pada awalnya watak Topanga Lawrence sekadar watak tempelan � si gadis bijak dan skema yang menjadi musuh pada watak Cory Matthews lakonan Ben Savage. Namun tahun demi tahun, para penerbit menyedari Danielle Fishel merupakan seorang gadis yang jelita dan keserasian antara Topanga dan Cory semakin menyerlah. Oleh sebab yang demikian, si musuh tempelan akhirnya berubah menjadi kekasih watak utama.
Sheldon
(Jim Parsons, "The Big Bang Theory")
Dari awal lagi, "The Big Bang Theory" mahu menjadikan Leonard (lakonan Johnny Galecki) sebagai watak utama. Namun jelas sekali sejak episod pertama lagi, watak Sheldon Cooper lakonan Jim Parsons lebih lucu dan unik. Leonard mungkin seorang si ulat buku yang bijak, namun tingkah laku Sheldon yang agak lurus namun menjengkelkan itu lebih lucu untuk ditonton. Tanya saja pada sesiapa yang tidak begitu mengikuti sitkom ini, mereka pasti akan lebih mengingati Sheldon.
Spike
(James Marsters, "Buffy The Vampire Slayer")
Spike lakonan James Marsters pada awalnya merupakan satu lagi watak pontianak yang akan mati pada pengakhiran musim. Namun begitu, lakonan Marsters dan karakter Spike yang secara tidak sengaja diolah dengan begitu baik menyebabkan bukan sahaja dia terus muncul di musim berikutnya, malah Spike juga turut memainkan peranan penting melalui "Angel", spinoff kepada "Buffy".
Arthur Fonzarelli
(Henry Winkler, "Happy Days")
Raja bagi semua watak tambahan popular, suatu masa dahulu Henry Winkler menjadi idaman setiap wanita melalui wataknya sebagai Arthur Fonzarelli, atau lebih dikenali sebagai Fonzie atau 'The Fonz' dalam "Happy Days". Pada awalnya Fonzie hanyalah watak tempelan. Namun karisma yang dibawakan Winkler telah mengubah perjalanan sitkom ini, sekaligus menjadikan Fonzie watak wajib sehinggakan sebuah patung The Fonz telah dibina di Milwaukee bagi mengingati watak mekanik yang cool ini. Fonzie turut berada di tempat keempat dalam '50 Watak Televisyen Terhebat Sepanjang Masa'.
0 Response to "Watak Pembantu Yang Popular"
Post a Comment