Siri Artikel Rugi Kalau Korang Tak Baca - Perihal Syukur (Bahagian 3)




Allah Maha Kuasa Makhluk Tiada Kuasa



Setiap hari manusia dilimpahi nikmat Allah Yang Maha Pemurah.Setiap hari manusia bergelumang dengan pemberian demi pemberian dari Allah Yang Maha Pengasih.Cuba sebutkan nikmat Allah paling hebat pada diri tuan-tuan.Apa dia? Toyota Estima Hybrid? Set Sony DAV-FZ900KW DVD Home Theatre System?iPhone 3GS berkelajuan 833MHz?Motosikal berkuasa tinggi Ducati 1098 S Tricolore? Dua tiket percutian mengelilingi Eropah dan bonus berbulan madu? Isteri secantik Diana Danielle dilengkapi suara semerdu Yuna? Ooo...itu kurang tepat tuan-tuan...Itu juga nikmat pemberian Allah namun nikmat yang paling hebat pada diri saya dan tuan-tuan ialah nafas yang saya dan tuan-tuan sedut tiap-tiap hari.

Dengan nafas yang dipinjam oleh Allah s.w.t itulah tuan-tuan dapat makan nasi goreng USA sambil menonton TV siaran Liga Juara-Juara Eropah dan kemudian tidur di tilam empuk berjenama Dreamland.Dengan nafas yang dipinjam Tuhan itulah tuan-tuan dapat pergi kerja,membeli-belah,melancong,beribadat dan berehat.DEngan nafas yang dipinjam Allah itu juga sesetengah makhluk Tuhan pergi ke disko,minum arak,berpegangan tangan bukan muhrim dan berzina.Dengan nafas yang dipinjam Allah itu juga ada orang gunakan ia untuk makan rasuah,menipu rakyat bawahan,pecah amanah dan menggunakan hasil negara untuk mengisi perut sendiri.

Nikmat Allah tidak terkira banyaknya tuan-tuan...Setiap kali tuan-tuan kelip mata itu juga satu nikmat.Apa akan jadi jika tuan-tuan semua terjegil biji mata 24jam. Seksanya jika tiba-tiba mata kita masuk habuk. Tidak boleh pejam mata. Mahu tidur pun mata terjegil macam burung hantu. Hidung kita pun dicipta Tuhan dalam kedudukan yang penuh nikmat dan rahmat. Apa akan jadi kalau lubang hidung saya dan tuan-tuan ke atas? Aha...jika hujan kelam-kabutlah cari tempat berteduh,kalau tidak lemaslah air masuk hidung kalau tuan-tuan tidak tutup dengan tangan.

Cuba lihat bagaimana hikmahnya Allah cipta diri kita. Kuku kita boleh memanjang. Bulu ketiak kita pun boleh panjang. Tetapi mengapa gigi kita tidak boleh panjang-panjang? Bulu kening kita duduk macam itu saja.Cuba kalau gigi kita memanjang macam kuku kita.Sampai masa,kena potong.Alamat kena cari 'cutter' besilah. Doktor gigi akan kaya raya kerana buat khidmat potong gigi setiap hari. Jika ada yang malas potong gigi,giginya akan panjang macam drakula. Nak makan pun susah. Pontianak Harum Sundal Malam dan Siang pun akan lari ketakutan lihat gigi kita.

Apa akan jadi kalau bulu kening kita memanjang macam janggut atau bulu ketiak kita? Alamat bertambah tugas kita. Kalau malas potong bulu kening,bulu kening akan panjang sehingga tutup mata. Pereka fesyen dari Paris dan Tokyo akan membuat pelbagai fesyen bulu kening yang pelik-pelik. Remaja-remaja Jepun akan menggayakan trend-trend terbaru bulu kening yang di'punk'kan atau diwarnakan di sana-sini. Lisa Surihani akan mendandan bulu keningnya untuk dimuatkan dalam majalah Mangga. Kan haru namanya itu ya maulana sekalian.





Cuba lihat diri tuan-tuan,betapa sempurna diri tuan-tuan Allah ciptakan.Cukup sifat.Ada orang yang lahir-lahir buta matanya.Ada yang cacat tiada tangan dan kaki.Ada yang lahir-lahir dua kepala satu badan.Ada bayi lahir sebelah buah pinggang mati.Ada yang terpaksa minta derma hati.

Nikmat Allah itu tuan-tuan... kalau dikumpulkan seluruh air laut di dunia ini untuk dijadikan dakwat,tidak cukup untuk menuliskan semuanya.Kalau dikumpulkan semua pokok-pokok di dunia ini supaya dijadikan batang pena bagi menuliskan segala nikmat Allah itu nescaya habis semuanya sebelum sempat menuliskan semua nikmat Allah itu.Subhanallahhh...

Allah jadikan diri kita sebaik-baik ciptaan...tuan-tuan.Firman Allah dalam surah at-Tin ayat 4,

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya".


Namun ada orang yang tidak puas dengan dirinya.Dia rasa Tuhan tidak cukup bagus ciptakan dirinya.Jadi dia buat tatu dan lukis macam-macam gambar pada tubuh badannya.Ada yang tindik muka,tangan,perut dan macam-macam lagi tabiat pelik manusia yang tidak puas hati dengan dirinya yang sebaik-baik ciptaan.Ada yang sambung rambut.Ada yang suntik silikon,suntik botox sampai hampir-hampir jadi mutan macam dalam filem X-Men.Ada yang tukar jantina.Yang lelaki jadi perempuan,yang perempuan jadi lelaki.Yang tidak sepatutnya digincu,digincu.Yang tak sepatutnya dicat,dicat sampai berwarna-warni macam badut sarkas.Padahal,semua itu yang dihias sedemikian rupa bakal menjadi santapan istimewa segala cacing dan ulat di dalam kubur.Jika tidak ulat dan cacing,pasti segala bakteria di bumi Allah ini akan melupuskan daging-daging mereka.Tidak bersisa.Yang perlu di'tatu' dan dicantikkan bukan tubuh badan wahai maulana semua...



Yang perlu diperelokkan,ditacap-tacap dan dicantikkan ialah AKHLAK dan IMAN kita.

Apa doa melihat cermin ya maulana sekalian? Siapa tahu angkat kaki!

Ya..ya.. "Segala Puji Hanyalah Milik Allah, Ya Allah Sebagaimana Engkau Telah Membaguskan Kejadianku, Maka Baguskanlah Akhlaqku"

Inilah yang perlu ditacap-tacap tuan-tuan. Mitsubishi Evo tuan-tuan tak payah tacap pun tidak mengapa.Ini AKHLAK tuan-tuan yang perlu diperelokkan,bikin baik punya! Bagi Allah sayang pada kita.Bagi Allah redha pada kita.Baru kelass gitu..

Iman tuan-tuan kalau tak cantik,lembu dan kambing pun menggelengkan kepala.Kenapa tuan-tuan? Kita makan,kambing pun makan.Kita minum,kambing pun minum.Kita tidur,kambing pun tidur.Tapi bila azan maghrib,kita masih mengunyah lagi,masih selamba dek lagi macam kambing.Kambing pun naik hairan.Apa beza aku dengan manusia?

Sebab itu kita kena tahu bersyukur tuan-tuan...sebab bab bersyukur ini kalau nak huraikan kelebihannya tidak cukup 44 malam tuan-tuan.Bersyukur inilah antara asbab punca rezeki yang amat ampuh tuan-tuan.Bersyukur ini kalau nak tahu adalah kunci kekayaan dan hidup mewah.Kenape? Tak percayeee?


Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Nah...sekarang kita tahu Allah menjamin dalam Al-Quran bahawa dengan bersyukur Allah akan tambah lagi dan lagi dan lagi.Allah akan tambah nikmatnya lagi dengan bersyukur.JIka kita miskin,Allah akan jadikan kita kaya.Kalau kita kaya,Allah bikin kita jadi tambah kaya...tambah kaya...Masya Allah!!



Bagaimana?Bagitahu aku macam mana nak jadi kaya dengan bersyukur??Aku bosan hidup miskin.Aku bosan jadi kuli batak orang lain.Aku sendiri pun tak cukup makan,macam mana nak bagi anak bini aku makan.Takkanlah aku nak bagi anak bini aku makan siput babi macam dalam rancangan Bersama mu TV3 tuh.

Sabar...ya maulana.Nak tahu rahsia mesti sabar.Nak kaya pun kena sabar.Sabar itu juga cara untuk jadi kaya.Kekayaan pun tidak datang sekelip atau 2 kelip mata.Berkelip-kelip mata pun tak dapat ya tuan-tuan.

Kau jangan buat loyar buruk.Beritahu aku cepat!

Bagaimana mahu kaya jika sikap tuan tidak mahu sabar? Lihat Bill Gates yang pendapatannya 300juta sebulan.Adakah dia kaya dengan 2-3 kelip mata? Berapa lama Donald Trump bina empayar hartanahnya? Tak payah pergi jauh tuan,lihat Mustapha Kamal tauke MK Land,berapa lama dia bertatih bina kekayaan?

Baiklah aku mahu sabar sekarang.Cuma tolong beritahu aku macam mana nak kaya dengan hanya bersyukur pada Tuhan.Aku cuma bosan makan megi tiap-tiap hari.Sekarang ini pun megi aku sudah kembang.




Maggi yang kembang juga adalah nikmat Allah ya sheikh ya maulana. JIka tuan tidak tahu bersyukur dengan sekeping megi,bagaimana tuan mahu bersyukur dengan sepinggan nasi kandar Mamak Deluxe berlaukkan ayam madu,papadom,sayur kobis dengan campuran mayonis,kentang putar yang lazat dan air tembikai susu lemak manis? Belajar bersyukur pada perkara yang kecil-kecil dahulu tuan,baru kita layak dapat berkat bersyukur pada perkara-perkara yang besar-besar.Sekeping megi itu tuan,jika kita tahu erti bersyukur padanya,Allah akan catitkan kesyukuran kita itu dan kelak Allah akan balas 10 kali ganda malahan berkali-kali ganda ya tuan.Subhanallah!!

Ya..ya..aku bersyukur dapat makan megi kembang.Jangan cakap lagi,beritahu sahaja bagaimana aku mahu bersyukur supaya dapat keluar dari kemiskinan tegar aku ini.

Tuan sudah pun buat tadi.Maknanya jika kita tahu erti syukur walaupun sekecil-kecil nikmat Allah,maka kita layak dapat kelebihan berkat rahmat Allah Yang Maha Kaya.Bersyukur ini macam main pinball tuan,tidak kira apa jua kita bersyukur pun,tetap dapat markah.Dapat minum air kosong,alhamdulillah...dapat duduk bawah payung masa hujan,alhamdulillah...dapat duduk dalam tren yang sesak,alhamdulillah...tapi jangan pula bila tengok punggung wanita masa dalam LRT kita ucap alhamdulillah...

Kenapa pula?Bukan itu juga rezeki naman ya?

Itu bukan rezeki ya maulana! Masya Allah apa nak jadi dengan maulana ini! Itu bukan rezeki,itu peluang nak dapat dosa!

Bila terpandang perkara-perkara macam itu,alihkan pandangan atau tutup mata sahaja dan beristighfar.Ini juga cara kita bersyukur dengan kedua biji mata kita.Nanti Allah tambah lagi nikmat...lagi dan lagi dan lagi...

Alhamdulillah aku faham sekarang,jadi ada tak cara lain nak bersyukur ini?

Bersyukur ini banyak cara kita boleh buat tuan-tuan.Bukan sekadar mengucapkan alhamdulillah...jika kita banyak harta,cara paling baik untuk bersyukur dengan harta kita ialah berzakat. Dah tunaikan zakat,kita boleh bersedekah pula.Tahukah tuan-tuan,dengan bersedekah,harta kita akan bertambah dan bertambah? Masya Allah tuan...ini RAHSIA BESAR tuan...bersedekah dapat menambahkan kekayaan. Dalam ilmu metafizik Barat juga mengakui prinsip ini.Apa dia tuan-tuan?

"Rahsia menerima ialah dengan memberi"
 


Jadi belajarlah memberi,kata pakar motivasi Barat.Lihat majoriti hartawan Barat.Trend mereka ialah selepas berjaya menjadi jutawan,mereka akan buka yayasan.Mereka akan buat tabung derma,kempen derma.Bill Gates,Rockefeller,Donald Trump dan sebagainya bukan sahaja menjadi hartawan yang berjaya,mereka juga adalah penderma yang budiman.Ini berbeza dengan orang kita ya maulana...makin kaya makin telan harta orang lain.Makin kaya bukan semakin jadi budiman...jadi semakin pembelit.Itu sebab bisnes semua lingkup.Semua tak jalan.Bengkrapsi.Tambah pula masing-masing ada Phd,lagi haru dibuatnya ya maulana sekalian.

Kenapa bersedekah tidak menjadikan harta kita berkurang malah semakin bertambah dan bertambah?


Dalam Hadis yang diriwayat At-Tabrani Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya sedekah itu tidak akan mengurangi harta seseorang”.

Lihat tuan-tuan Nabi kata sedekah itu tidak langsung mengurangkan harta kita.Kita mungkin nampak berkurang,TETAPI HAKIKATNYA TIDAK.


Allah yang merupakan PEMILIK PERBENDAHARAAN KEKAYAAN juga menjamin orang yang bersedekah:


Al Baqarah ayat 261 :

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Inilah rahsia hukum metafizik Barat "“to give in order to get” .Kata Joe Vitale,seorang pakar motivasi dan 'spiritual marketing',hukum ini adalah sesuatu yang universal dan bertindak dengan cara yang tidak diketahui dan aneh.Memanglah dengan memberi itu membawa kepada pemberian yang mencurah-curah sebab ALLAH SENDIRI YANG MENCIPTA HUKUM ALAM INI.Orang Barat percaya dan mereka berjaya.Kita kurang percaya,maka kita gagal.

DALAM AGAMA ITU ADA KEJAYAAN.YAKINLAH TUAN-TUAN.YAKINLAH SEPENUH HATI.

Tapi dalam poket aku ada 5 ringgit je.Aku orang miskin.Tak payah lah bersedekah.Aku nak cara lain jadi kaya.





Orang miskinlah kena banyak bersedekah ya maulana.Sebab orang miskin kurang harta.Nak dapat banyak kena beri banyak.Nak jadi kaya kena bagi kekayaan.Itu prinsipnya ya maulana.Buat sahaja.Nanti Allah kasi mudah.Misalnya dalam poket ada 5 ringgit,berilah seringgit pada surau atau masjid.4 ringgit boleh beli nasi lemak dan air bungkus sebagai contoh.Kan mudah.Nak bagi semua pun tidak mengapa.Tapi kena tawakal kuatlah.

Bersyukur juga boleh dilakukan dengan menambahkan amal ibadat tuan-tuan.Jika dahulu malas bersolat,kini rajin-rajinlah pergi ke masjid.Jika dahulu malas nak buka AlQuran,kini usahalah baca 2-3 mukasurat sehari.Lagi tambah amal ibadat,lagi Allah sayang.Lagi Allah sayang...nah minta apa saja ya maulana...nak rumah...nak kereta...nak bini cantik...panjatkan saja doa tuan-tuan...pasti Allah kabulkan.

Surah Al-Baqarah ayat 186:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul".






Nah...tuan-tuan,jika kita sahut seruan Allah,pasti Dia akan beri perhatian-Nya pada kita.Sebab apa tuan-tuan? SEbab dengan menyahut perintah Allah maknanya kita sudah bersyukur dengan NAFAS DAN NYAWA yang Allah kurniakan pada kita.Kita hargai nafas kita yang dok sedut tetiap hari.Nyawa yang Allah bagi ini,bukannya untuk tambah maksiat...tapi untuk tambah mendekatkan diri pada Allah Azza Wa Jalla.

Jadi ya maulana sekalian...apa pelajaran kita hari ini?

Bagaimana nak berterima kasih dengan segala pemberian nikmat yang Tuhan bagi ini?

Bagaimana nak tambah keberkatan dalam hidup kita?

Bagaimana nak keluar dari kemiskinan dan menuju kepada kekayaan?

Bagaimana nak jadi kaya...bertambah kaya?

Bagaimana nak bagi semua doa kita dimakbulkan Tuhan?



















Iaitu dengan BERSYUKUR KEPADA-NYA
















Ya Allah...daku kurang bersyukur kepada MU ya Allah...banyak sungguh nikmat yang Engkau berikan kepadaku.Tapi daku selalu lupakan Engkau...

Segala puji-pujian hanya untukmu Ya Allah...

ALHAMDULILLAH....

0 Response to "Siri Artikel Rugi Kalau Korang Tak Baca - Perihal Syukur (Bahagian 3)"

Post a Comment